Dr Sukainah dan sdr Azrin Alhamdulillah selamat membentangkan kertas masing-masing tentang Fundamentals of Islamic Management Methods dan Theoretical Framework of Islamic Consumer Behaviour pada 12 Mei 2010 di IRTI Staff Seminar, di Islamic Research and Training Institute (IRTI) di Islamic Development Bank di Jeddah, Saudi Arabia sebelum pulang ke Malaysia pada 15 Mei 2010 baru-baru ini. Seperti biasa, sebelum itu, kedua-duanya ada rasa sedikit nervous kerana merasakan cendekiawan yang akan hadhir adalah orang yang berpengalaman dan tinggi ilmunya, sedang kita yang hendak bentang tidak mempunyai kemampuan sebegitu rupa.
Rasa yang sedemikian itu sememangnya fitrah manusia dan berlaku kepada ramai. Tetapi harus hati-hati menempuhnya kerana jika tersilap, kita boleh saja tergelincir dari landasan hingga tidak menghargai kebolehan kita yang Allah kurniakan. Kalau itu berlaku, kita jatuh ke dalam sifat berburuk sangka dengan Allah swt dan tergolong ke dalam golongan yang tidak mensyukuri kurniaan Allah swt. Perkiraannya adalah cukup halus sekali.
Jadi, dalam menghadapi suasana yang sedemikian rupa, kena hati-hati mengimbangkan antara fitrah kita yang mungkin sedikit takut dan tidak yakin dengan kebolehan kita, dengan menghargai dan mensyukuri apa jua kebolehan dan peluang yang Allah swt kurniakan. Gunakanlah kurniaan Allah swt itu semaksimanya kerana Allah swt semata-mata. InsyaAllah kita akan tenang dan yakin menghadapinya, seperti Dr Sukainah dan sdr Azrin lalui dalam pembentangan di IRTI hari itu dengan jayanya, Alhamdulillah.
Mungkin ada orang berkata, kalau kita sudah yakin, kita pada hukum adatnya selalu terlupa mengharapkan dan memohon bantuan Allah swt lagi. Kita biasanya hanya akan mengharap dan memohon bantuan Allah swt dalam keadaan kia tidak yakin. Kita akan mohon dengan Allah dan oleh itu kita bentang dalam keadaan penuh tawadhok dan bergantung sepenuhnya kepada Allah swt.
Jawapannya, ya, memang secara logiknya itu adalah benar.
Tetapi mana lebih bagus, bergantung dengan Allah dalam keadaan kita tidak yakin dengan kebolehan diri kita, atau bergantung dengan Allah swt walaupun ketika kita yakin dengan kebolehan kita dan menghargai serta mensyukuri kurniaan Allah swt.
Jawapannya tentulah yang kedua lebih bagus. Mengharapkan bantuan Allah dan menaruh pergantungan kepada Allah swt ketika susah adalah perkara biasa yang dilakukan oleh ramai manusia. Ia lebih mudah dari mengharapkan bantuan dan menaruh pergantungan kepada Allah swt ketika kita senang. Memang fitrah manusia, apabila susah dan menghadapi masalah, kita teringat kepada Allah swt. Itu biasa.
Tetapi cukup susah mencari manusia, yang walaupun dalam keadaan senang dan tidak menghadapi apa-apa masalah, tetapi tetap masih mengharapkan bantuan dan menaruhkan pergantungan kepada Allah swt. Jadi nilai pengharapan bantuan dan pergantungan kepada Allah swt golongan yang kedua ini tentulah jauh lebih tinggi dari nilai pengharapan bantuan dan pergantungan kepada Allah swt golongan yang pertama tadi.
Warga ISDEV oleh itu harapnya, apabila diberikan tugas dan tanggungjawab, jangan berburuk sangka dengan kebolehan sendiri tambah-tambah lagi berburuk sangka dengan apa yang telah Allah swt kurniakan. Cubalah seboleh mungkin memenuhinya dengan berbaik sangka dan menghargai kebolehan dan kurniaan Allah swt serta meletakkan pengharapan dan pergantungan kepada Allah swt sepenuhnya, walaupun dalam keadaan kita penuh yakin bahawa kita boleh melalukannya. Saya yakin, jika ini menjadi sifat semua warga ISDEV, kita InsyaAllah akan terus maju mara ke hadapan.
No comments:
Post a Comment