Di depan bangunan Islamic Development Bank, Jeddah, Arab Saudi
Dua hari lagi berakhirlah musafir panjang saya pada tahun ini. Pada Jumaat 16 Julai 2010 ini, saya sekeluarga InsyaAllah sudah akan berangkat pulang ke Malaysia.
Selama lebih kurang empat bulan setengah, sejak 1 Mac yang lalu, saya sekeluarga telah Allah swt izinkan menggali pengalaman di dua buah negara yang agak berbeza iklim dan suasananya. Lebih kurang tiga bulan setengah pertama Allah swt telah izinkan saya sekeluarga bermaustautin di bumi anbiya' Arab Saudi, di Jeddah, dan hampir setiap hujung minggu menjadi tetamu Allah swt di Mekah atau menjadi tetamu Rasulullah s.a.w di Madinah. Pada sebulan terakhir pula, Allah swt izinkan saya sekeluarga bermaustautin di bumi bukan Islam United Kingdom, di Oxford, yang masyhur dengan kehebatan ilmu pengetahuannya.
Di depan Radcliffe Camera, Universiti Oxford
Selalunya bagi orang bermusafir seperti saya ini, ketika hampir-hampir hendak pulang ini antara lain tentulah sibuk membeli belah untuk membawa pulang buah tangan kepada sanak saudara dan teman-teman. Saya sekeluarga juga begitu dalam musafir yang lepas-lepas.
Tetapi dalam musafir kali ini, perkara ini tidak kami lakukan. Memang ketika dekat-dekat menghabiskan musafir di Arab Saudi dahulu, saya suami isteri jenuh memikirkan apa yang hendak dibawa pulang untuk sanak saudara dan teman-teman. Tetapi kami agak buntu kerana tidak tahu apa buah tangan istimewa yang boleh kami bawa pulang selain dari tasbih, minyak atar, sejadah, kurma, dan kopiah yang sering orang bawa pulang dari Mekah dan Madinah. Sebelum ini, saya sendiri juga banyak menerima barang-barang ini dari sanak saudara dan teman-teman yang ke Mekah dan Madinah, sehingga sebahagian besarnya tidak sempat saya gunakan. Kebanyakan barang-barang ini pula bukanlah dibuat oleh warga Arab Saudi. Sebaliknya kebanyakannya diimpot dari negara-negara luar terutamanya China dan India. Tambahlagi saya tidak pulang terus ke Malaysia dari Arab Saudi itu. Saya ke United Kingdom terlebih dahulu dan tentulah agak sukar saya membawa buah-buah tangan tersebut sebelum membawanya pulang ke Malaysia.
Dalam keadaan demikian, Allah swt memberikan kepada saya dan isteri satu idea. Duit yang sepatutnya kami gunakan untuk membeli buah tangan bagi sanak saudara dan teman-teman itu kami gunakan untuk membeli al-Qur`an. Kemudian kesemua al-Qur`an itu kami wakafkan kepada Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah atas nama sanak saudara dan teman-teman tersebut. Setiap keluarga adik beradik di sebelah saya dan adik beradik di sebelah isteri saya semuanya dinamakan sebagai pewakaf dalam wakaf tersebut. Begitu juga dengan semua warga ISDEV.
Menghadiahkan buah tangan kepada sanak saudara dan teman-teman ISDEV dengan cara itu rasanya adalah jauh lebih bernilai dari membawa pulang buah tangan dalam bentuk biasa. Wakaf itu berpanjangan manfaatnya, berbanding dengan buah tangan biasa. Pahala juga dapat dikongsi bersama oleh nama-nama yang diniatkan sebagai pewakaf itu setiap kali ada orang membacanya. Pahalanya juga berlipat ganda dari biasa kerana pembacaan al-Qur`an itu dilakukan di dalam Masjidil Haram atau di dalam Masjid Nabawi.
Jadinya harapnya apabila saya sekeluarga tiba pulang pada 17 Julai nanti, sanak saudara dan teman-teman ISDEV tidak lagi mengharapkan apa-apa buah tangan. Memang kami tidak membawa pulang apa-apa buah tangan pun kerana buah tangan itu telah kami berikan ketika kami di Arab Saudi lagi, ketika di Mekah dan di Madinah. Harapnya semua gembira dan berpuashati dengan buah tangan yang kami berikan dengan cara itu, InsyaAllah.
Di Mekah di hujung minggu
No comments:
Post a Comment