http://www.utusan.com.my/ utusan/info.asp?y=2011&dt= 0708&pub=Utusan_Malaysia&sec= Rencana&pg=re_02.htm
8 Julai 2011, Jumaat
RENCANA
Antara sains, sains sosial dan kalbu
Oleh MUHAMMAD SYUKRI SALLEH
KONGRES pertama Majlis Profesor Negara (MPN) pada 6 hingga 8 Julai agak menghiburkan. Selain dari berpeluang berjumpa teman-teman lama dan baru dari seluruh universiti di Malaysia, pembentangan dan wacananya boleh menjadi makanan fikiran yang agak menarik.
Misalnya, dalam Plenari I dan II yang masing-masing disampaikan oleh Pengerusi MPN Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid dan Timbalan Pengerusi MPN Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, ada sekurang-kurangnya empat perkara yang telah ditimbulkan.
Pertama, ahli-ahli MPN beraliran sains tabii perlu menggunakan kepakaran masing-masing seboleh-bolehnya untuk membantu negara mengatasi masalah yang berkaitan sains dan teknologi. Ini ditimbulkan oleh Profesor Zakri ketika menyampaikan ucapan bertajuk Ilmu Mentransformasikan Negara: Perspektif Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Plenari I.
Kedua, dalam mentransformasikan negara, sains sosial tidak boleh diketepikan, malah jika sains tabii menjadi hardware, maka sains sosial pula adalah softwarenya. Ini dikemukakan oleh Profesor Shamsul Amri ketika menyampaikan ucapan yang diubahsuaikan sedikit dari tajuk asal Ilmu Mentransformasikan Negara: Perpektif Sains Kemanusiaan dalam Plenari II.
Ketiga, sains sosial diakui sangat penting berganding dengan tabii dalam mentransformasikan negara. Tetapi ia tidak boleh berganding secara perkotakan (compartmentalized). Sebaliknya kedua-duanya mesti bergabung dalam satu paradigma agar ia menjadi ilmu yang holistik. Ini disarankan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Profesor Dzulkifli Abdul Razak ketika memberi reaksi kepada intipati kedua-dua ucapan Plenari.
Keempat, ilmu transformasi perlu mengambil kira kalbu sebagai salah satu perkara penting dalam mentransformasikan negara. Jika sains dan teknologi menjadi hardware dan sains sosial menjadi software, maka kalbu perlu menjadi heartware agar dengan itu ilmu transformasi menjadi lebih lengkap. Ini dikemukakan oleh moderator Plenari II Tan Sri Profesor Dr. Muhammad Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Selain daripada mengikuti hujah tentang keempat-empat perkara ini, saya juga cuba belajar bagaimana seni penghujahan mereka. Misalnya, sebagai profesor dalam bidang sains yang prihatin dengan masalah persekitaran, Profesor Zakri tentulah logiknya patut menonjolkan keperluan sains dan teknologi dalam mentransformasikan negara.
Begitulah juga dengan Profesor Shamsul Amri. Beliau seorang aktivis sains sosial yang aktif cuba menyedarkan khalayak akan betapa perlunya sains sosial dalam usaha mentransformasikan negara. Beliau kini sedang giat cuba menubuhkan Akademi Sains Sosial, seperti juga Akademi Sains yang sudah sedia ada.
Oleh kerana kedua-dua Profesor Zakri dan Profesor Shamsul Amri bercakap atas dasar kepakaran dan minat masing-masing, maka sekali lalu ia nampak terpisah dan mungkin bercanggah. Masing-masing nampak cuba memperjuangkan bidang masing-masing. Para profesor lain yang menyertai Kongres ini juga barangkali menyokong kedua mereka berdasarkan bidang masing-masing juga.
Namun begitu, Profesor Dzulkifli, walaupun dari bidang sains, cuba membina jambatan antara kedua-dua golongan itu. Beliau mengatakan bahawa gandingan antara sains tabii dan sains sosial tidak boleh dilakukan secara terpisah. Ia mesti bergabung dalam bentuk satu ilmu supaya ia menjadi lebih holistik. Saranan sebegini dibincangkan dengan terperinci dalam Syarahan Utama pada hari kedua Kongres oleh Profesor Dr. Nay Htun dengan tajuk Bridging the Natural Sciences and Social Sciences.
Saya pada mulanya menjangka isu ilmu transformasi ini sudah cukup dengan menggabungkan kedua-dua ilmu sains tabii dan sains sosial ini dalam satu paradigma. Tetapi jangkaan saya itu ternyata meleset.
Ketika menutup Plenari II, Profesor Muhammad Kamal sebagai moderator menimbulkan satu lagi dimensi ilmu yang perlu ada dalam mentransformasikan negara. Ilmu tersebut ialah ilmu kalbu. Baginya tidak cukup sekiranya ilmu transformasi ini hanya mempunyai hardware dan software sahaja. Ia juga memerlukan heartware, kesedaran terhadap peranan hati.
Yang menarik bagi saya sebenarnya bukan sahaja isi hujahnya, tetapi juga bagaimana beliau menyampaikan hujah. Saya yakin beliau menyedari akan kepelbagaian fikiran para profesor dalam Kongres ini, ada yang suka kepada agama dan ada juga yang tidak suka.
Dalam keadaan sedemikian, Profesor Muhammad Kamal memulakan hujah dengan membaca petikan daripada Francis Fukuyama, seorang pemikir yang terkenal melalui bukunya, The End of History. Kemudian beliau membaca petikan tulisan Profesor Shamsul Amri sendiri yang juga menyarankan tentang perlunya nilai-nilai yang baik dalam mentransformasikan sosial.
Setelah mempunyai asas hujah yang kuat begini, barulah beliau menyampaikan tentang kalbu. Ertinya beliau menyampaikan hujah tentang kalbu yang kena mengena dengan agama setelah mengasaskan dahulu justifikasi keperluannya berlandaskan hujah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh yang tidak menggunakan perspektif agama, terutama hujah penyampai Plenari itu sendiri.
Bukan itu sahaja. Beliau juga menyampaikan hujah dengan lembut dan tawaduk. Saya tahu Profesor Muhammad Kamal berpegang kepada hakikat bahawa kalbu mestilah menjadi tunjang kepada ilmu transformasi. Namun begitu beliau dengan penuh kompromi mengatakan tidak mengapa jika ilmu kalbu ini diletak bersama dengan ilmu sains tabii dan sains sosial dalam satu kotak, atau dianggap sebagai ilmu tambahan kepada ilmu sains tabii dan ilmu sains sosial ini.
Hujah Profesor Muhammad Kamal ini sama ada secara langsung atau tidak diperkuatkan lagi dengan hujah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Mentransformasi Negara Melangkaui 2020 pada sebelah petangnya.
Tun Mahathir berkali-kali menekankan bahawa selepas negara menjadi maju, persoalan moral mesti ditekankan sungguh-sungguh agar kemajuan tidak mewujudkan nilai-nilai yang tidak baik sebagaimana telah banyak muncul sekarang. Moral itu pastinya berkait rapat dengan kalbu yang ditimbulkan Profesor Muhammad Kamal.
Apa yang saya kurang faham ialah kenapa baru sekarang Tun Mahathir menekankan tentang moral, setelah Wawasan 2020 itu sendiri mula melahirkan nilai-nilai yang tidak baik dan tidak bermoral. Kenapa beliau tidak menekankan sekali gus tentang persoalan moral dan nilai-nilai baik ini ketika beliau memperkenalkan Wawasan 2020 dahulu lagi?
Saya bagaimanapun bersyukur kerana arkitek Wawasan 2020 itu sendiri menyedari hakikat ini sekarang. Beliau telah menyuarakannya dengan jelas agar Wawasan 2020 tidak terus menghakis moral dan nilai-nilai baik. Dalam hujah-hujah yang cukup meyakin dan menghiburkan, Tun Mahathir telah mempamerkan kesedaran yang sungguh-sungguh tentang kesan Wawasan 2020 dan cuba memperbaikinya mengikut kapasiti yang ada padanya sekarang.
Ringkasnya, saya bukan sahaja mendapat beberapa ilmu baru daripada Kongres Profesor Negara ini, tetapi juga belajar tentang seni menyampaikan hujah, terutamanya dari Profesor Muhammad Kamal. Tanpa seni berhujah, walau bagaimana baik sekali pun pemikiran yang kita kemukakan, sukar orang menerimanya. Itulah yang saya sering hadapi dan cuba terus belajar. Cuma saya cukup berharap apa yang saya pelajari di Kongres Profesor Negara ini bukanlah merupakan jimnastik dan makanan akal semata-mata. Ia juga akan diikuti dengan praktis oleh semua yang bertanggungjawab.
PROFESOR DR. MUHAMMAD SYUKRI SALLEH ialah Pengarah, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.
No comments:
Post a Comment